Berkongsi Ilmu Itu Lebih Baik Daripada Berdiam Diri

Tidak semua cenderung untuk berkongsi ilmu. Walaupun kita sedar ilmu yang bermanfaat adalah satu daripada saham akhirat yang mudah untuk disebarkan.



Satu daripada cara untuk berkongsi ilmu adalah menerusi penulisan.


Tidak semua penulis yang suka berkongsi ilmu yang bermanfaat.

Ada penulis yang menggunakan tulisan sebagai satu medium untuk mengaibkan orang lain. Ada penulis yang menggunakan tulisan kerana mahu buat duit semata-mata tanpa memikirkan manfaat kepada pembaca.

Ada juga penulis yang sentiasa mencari jalan, untuk menyampaikan maklumat yang merangkumi beberapa elemen saham akhirat yang baik. Antaranya adalah:

  1. Tulisan yang bermanfaat.
  2. Tulisan yang menyelesaikan masalah pembaca.
  3. Tulisan yang kuat sokongan maklumatnya.
  4. Tulisan yang menambah nilai dalam hidup orang lain.
  5. Tulisan yang memberikan inspirasi kepada pembaca, supaya menjadi lebih baik dari semalam.


Prinsip Sedekah Ilmu – The More You Give, The More You Get


Saya berbicara dari sudut seorang penulis. Ramai penulis hebat yang saya kenal mempunyai beberapa perwatakan yang sama.

Satu daripadanya adalah hala tujuan penulisan mereka. Setiap seorang daripada mereka mempunyai tujuan untuk menulis. Antaranya mahu ilmu-ilmunya itu disebarkan kepada orang ramai.

Supaya orang ramai memperoleh manfaat, supaya orang ramai boleh menggunakan ilmu itu sebagai bahan rujukan subjek untuk beberapa keturunan.

Bercerita tentang hal ini, teringat betapa besarnya pengorbanan para ulama yang sanggup mengorbankan masa tidur, semata-mata untuk berkarya.
Mereka berkarya kerana harta. Tetapi bukan harta dunia semata-mata. Harta dunia dan akhirat mereka inginkan. Lebih penting, ilmu mengenai Islam, agama yang indah lagi mengindahkan ini dapat disebarkan kepada orang ramai.

Jika hendak dibezakan dengan penulis seperti saya, ibarat langit dengan bumi. Mereka sanggup melupakan kesakitan untuk berkarya. Mereka sanggup untuk menjelajah berjuta-juta batu untuk mendapatkan ilmu.
Supaya ilmu itu dapat disematkan dalam karyanya. Kemudian disebarkan kepada orang ramai yang tidak berkemampuan untuk meneroka ilmu itu.


Berhenti Beralasan – Setiap Manusia Ada Kelebihan


Sering saya mendengar bicara individu yang berminat untuk menulis, "Saya tidak tahu topik apa yang perlu ditulis.”

Bukan itu soalnya. Prinsipnya sekarang adalah bagaimana ilmu kita dapat dimanfaatkan oleh orang lain.

Fikirkan sejenak. Selama kita hidup di bumi Allah ini, adakah kita mempunyai satu pengalaman, minat, obsesi atau kecenderungan terhadap sesuatu?

Mungkin kita pernah mempunyai pengalaman menjual tebu di pasar malam dan memperoleh pendapatan untuk menampung keluarga. Boleh jadikan ia sebagai titik permulaan untuk berkongsi ilmu menerusi penulisan.

Mungkin kita meminati topik pemasaran dan kita sudah membaca lebih daripada 50 buku pemasaran. Boleh jadikan ia sebagai satu wadah untuk menyampaikan ilmu bermanfaat kepada orang ramai.

Khususnya pemilik perniagaan.


Cari Ilmu, Gali Ilmu dan Kongsi Ilmu


Konsep berkongsi ilmu itu mudah.

Pertama, kita mencari ilmu yang kita mahu. Contohnya, saya mahu menjadi pakar dalam bidang penulisan blog. Maka tugas pertama saya adalah melakukan kajian terhadap individu yang sesuai (pakar) dalam bidang ini.

Seperti kata Dr. Azizan Osman, jika mahu cari ilmu, cari ilmu yang berkualiti. Yakni belajar daripada mereka yang sudah pakar dan berjaya.

Langkah seterusnya adalah menggali ilmu itu daripada mereka. Ini yang dinamakan pengorbanan. Ia akan melibatkan 3 jenis pengorbanan: 

Masa – Melaburkan masa untuk menuntut ilmu dengan mereka.
Tenaga – Jarak untuk kita bertemu dengan mereka.
Wang – Barang tukaran sebagai tanda kita mahu menghargai ilmu yang mereka ada.

Langkah terakhir adalah berkongsi apa yang kita belajar kepada orang ramai. Zaman teknologi hari ini lebih memudahkan. Kita tidak perlu bersusah payah merayu pada penerbit untuk menulis buku.

Gunakan medium percuma seperti blog. Ia adalah permulaan untuk mengumpul saham akhirat.

Semoga kita semua berjaya berkongsi ilmu yang bermanfaat. Agar ia tukar menjadi berkat. Supaya saham akhirat kita melekat di akhirat.




Kopipes dari :



Busuk!