17 Rahsia Bisnes Pengasas Bihun Sufi

 TIP BISNES TUAN SHAWAL, PENGASAS BIHUN SUFI, Ceo Sufi Brand








TIP 1 : NILAI TAMBAH & SIMPANAN
Perniagaan yang maju diawalnya bukan ukuran kemajuan di akhirnya. Sentiasa bersedia untuk memberikan nilai tambah bagi setiap produk termasuk bersedia dengan tabungan, kerana ia adalah sumber kejayaan.

TIP 2 : YAKIN DENGAN "PELABURAN ILMU"  
Jangan kedekut melabur duit untuk belajar ilmu baru terutamanya ilmu-ilmu yang boleh meningkatkan kerjaya dan bisnes.



TIP 3 : PERCAYA PADA GANJARAN USAHA

Apabila berlaku perkara negatif atau kehilangan sesuatu, yakin dan percaya bahawa Tuhan pasti menggantikan ganjaran yang lebih baik. Dalam setiap kepayahan, pasti ada kesenangan. Belajar untuk melihat hikmah ALLAH di sebalik kejadian adalah ciri-ciri orang berjaya dan berfikir luar biasa.


TIP 4 : DUGAAN ADALAH PENYUCI DOSA
Apabila berlaku perkara negatif, jangan cepat menyalahkan orang lain. Cari kesilapan diri sendiri. Apa yang berlaku adalah dugaan untuk kita mungkin disebabkan dosa-dosa kita dahulu. Mohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan maafkan diri sendiri atas kesilapan yang kita buat.

TIP 5 : PILIH MENTOR YANG BETUL
Untuk berjaya dalam bisnes, wajib berguru dengan mentor yang sudah berjaya dalam bisnes dan pakar di dalam industri. Pilih mentor yang dapat membimbing kita dengan ilmu, sistem dan tindakan yang betul supaya proses kejayaan menjadi lebih pantas.

TIP 6 : "PENARIK REZEKI"
Selain menjaga solat fardhu, solat dhuha adalah kunci kepada pintu rezeki. Setiap kali selepas solat, doa dengan bersungguh-sungguh dan minta dengan Tuhan apa yang kita inginkan dengan spesifik. Fokus di dalam solat dan doa menjadi pembuka rezeki dan memudahkan jalan dalam urusan harian seterusnya setiap matlamat lebih mudah dicapai. Manfaatkan 1/3 malam untuk sujud kepada-Nya memohon keampunan, keredhaan & kerahmataan-Nya untuk diri, keluarga & perniagaan.

TIP 7 : BENCI PADA SIKAP TERHEGEH-HEGEH
Sikap lambat untuk membuat tindakan adalah antara punca kegagalan yang tidak berkesudahan.

TIP 8 : KEKAYAAN DI BAWAH TAPAK KAKI IBU
Hubungan yang baik dengan ibu bapa akan membuatkan proses kejayaan menjadi lebih lancar. Jika hubungan renggang, perbaiki segera hubungan dengan mereka dan sentiasa menggembirakan hati mereka. Ceritakan serba sedikit apa yang kita lakukan dan mohon mereka mendoakannya. Doa ibu mempunyai rahsia tersendiri dan sungguh mustajab.

TIP 9 : BIAR KECIL, ASAL BERHASIL
Bermula sedikit dan kembangkan menjadi besar. Elak bermula besar akhirnya bubar. Jika melibatkan penjualan barang, belajar mengawal stok yang sedikit terlebih dahulu sebelum mengembangkan menjadi besar. Untuk rekod, Bihun Sufi bermula dengan edaran sebanyak 500 peket sahaja.

TIP 10 : TANGGUH KEPUASAN DIRI
Wujudkan satu ‘peti besi’ yang isinya adalah simpanan untuk keinginan kita. Kunci rapat-rapat peti besi tersebut dan disiplinkan diri untuk tidak membukanya. Dikhuatiri apabila kita membukanya di peringkat awal perniagaan, kita akan terdorong membeli simbol-simbol kemewahan di kala perniagaan kita masih belum kukuh tapak dasarnya. Apabila perniagaan sudah betul-betul stabil, buka peti besi tersebut dan penuhi keinginan kita secara cermat dan mengikut pengurusan kewangan yang betul.

TIP 11 : BUKAN SEKADAR JUTAWAN DUNIA
Apabila diberi rezeki oleh Allah, utamakan terlebih dahulu aset-aset untuk kehidupan selepas mati. Setiap sen adalah amanah dari Allah. Buktikan kepada
Pencipta kita merupakan pemegang amanah yang baik, yang sentiasa menyalurkan limpahan rezeki ke arah jalan-Nya.

TIP 12 : GUNA STRATEGI LUAR KOTAK
Kami menggunakan konsep reverse strategy dalam pembekalan Bihun Sufi. Berdasarkan kajian awal, keghairahan meletakkan produk terlalu awal di pasaraya besar adalah satu strategi yang silap. Sasarkan dahulu pasaran peruncitan yang jumlahnya lebih banyak daripada jumlah pasaraya. 2 kelemahan utama pasaran pasaraya untuk bisnes baru bertapak adalah:

1. Bayaran mengikut terma kredit adalah tidak sesuai bagi usahawan yang baru bertapak yang mana memerlukan modal pusingan yang cepat. Bayaran pasaran runcit lebih pantas iaitu pembayaran dilakukan segera setelah stok habis.

2. Persaingan produk bumiputera masih belum setanding dengan produk-produk yang telah lama mencipta nama. Ketidakseragaman dalam usaha meletakkan produk Bumiputera dilandasan yang tepat juga merupakan punca kelemahan pembekalan di pasaraya.

TIP 13 : KAJI PERMINTAAN TERLEBIH DAHULU
Antara rahsia Bihun Sufi berjaya memasarkan sehingga ratusan ribu bungkus setahun adalah dengan mencipta dahulu permintaan. Kami berusaha mencipta permintaan pelanggan dan membuat kejian terperinci tentang pola pembelian dan permintaan dari setiap negeri. Sasaran kami stock satu treler yang memuatkan 50,000 bungkus bihun Sufi harus dijual kurang dari 2 minggu, dan kami lebih gembira jika bekalan tidak mencukupi kerana kami tahu kami harus berusaha lebioh gigih untuk mengeluarkan lebih banyak stok untuk edaran.

TIP 14 : TAMAK BAWAH PADAH
Kami menggunakan sistem tersendiri, iaitu perkongsiaan keuntungan, sebagai contoh apabila kami ditawarkan kontrak pembekalan ke agensi kerajaan, keseluruhan pembekalan tersebut akan dipecahkan kepada Pusat Edaran Negeri. Dengan cara ini, keuntungan dapat diagihkan sama rata untuk seluruh Pusat Edaran. Kami tidak mensasarkan keuntungan yang berlipat kali ganda, sebaliknya peluang kepada ejen-ejen untuk untung lebih tinggi adalah salah satu langkah bagaimana kami mencipta kejayaan tersendiri.

TIP 15 : BERANI KE LUAR NEGARA
Rahsia bagaimana Bihun Sufi berjaya memasuki pasaran 10 buah negara dalam masa 3 tahun adalah berdikari sendiri dalam memperkenalkan produk ke luar negara. Tidak perlu tunggu atau mengharapkan badan-badan lain jika kita mempunyai kreativiti mencari jalan bagaimana untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan menggunakan platfom Internet, dan ia merupakan platform terbaik untuk berhubung dengan dunia luar. Apa yang menarik, margin keuntungan untuk pasaran eksport adalah lebih tinggi daripada pasaran tempatan kerana urusniaganya di dalam nilai USD.

TIP 16 : BUAT PELAN BISNES REALISTIK
Setiap perniagaan tanpa bisnes plan adalah ibarat menaiki perahu tanpa pendayung. Bisnes plan adalah sesuatu yang harus dicapai dan bukannya mengharapkan keajaiban. Apabila kami menetapkan sasaran jualan sebanyak RM 5 juta pada tahun 2012, kita perlu jelas dengan jumlah sasaran jualan yang perlu dilakukan oleh syarikat. 

Jumlah ini akan disaring agar lebih mudah untuk dicapai. Caranya, pecahkan sasaran jualan kepada jumlah edaran Pusat Edaran Negeri untuk tempoh 1 tahun yang dipecahkan kepada 12 bulan, kemudian dipecahkan lagi kepada jumlah jualan per/hari dan dipecahkan pula kepada jumlah per/jam. Perincian ini membolehkan kita membuat ukuran jumlah yang harus dijual untuk mencapai jumlah sasaran.

TIP 17 : BERPEGANG PADA PRINSIP
Apabila menetapkan matlamat mahu berjaya di dalam perniagaan ini, tetapkan
pendirian dan jangan mudah terpengaruh dengan peluang bisnes lain walaupun ditawarkan pulangan lumayan. Salah satu kesilapan usahawan yang baru mengecapi kejayaan adalah mudah teruja dengan peluang-peluang bisnes lain menyebabkan melabur di luar kemampuan syarikat.





P/S: Encik Shawal merupakan salah seorang anak didik Dr.Azizan Osman yang sangat saya kagumi. Dengan hanya RM10.00 didalam poket semasa beliau mula menyertai program keusahawanan kendalian Dr.Azizan dan kini beliau mampu mendirikan kilang memproses bihun bernilai RM12 juta!! Syabas! 

Semoga tips-tips diatas dapat memberikan manfaat kepada anda semua.

Salam sayang.






Untuk pembelian secara online anda boleh layari http://www.sufimart.my/








Busuk!