Belajar Gagal Ala THOMAS ALVA EDISON





Thomas Alva Edison bukanlah nama yang asing bagi kita. Dia dikenali dan dikenang seluruh dunia dengan penemuannya yang menggemparkan dan mempengaruhi seluruh dunia. Bola lampu merupakan penemuan hebat yang sungguh mengagumkan. Sebelum meninggal dunia pada usia 84 tahun, Thomas Alva Edison telah mempersembahkan 1,093 karya yang besar bagi dunia ini.

Hal yang menarik dalam hidupnya, sejak kecil telah membiasakan diri bertanya tentang sesuatu yang baru. Di sekolah ia selalu mempersoalkan jawapan yang diberikan oleh gurunya. Kerana terlalu banyak bertanya, guru menilai bahawa dia seorang murid yang bingung dan berfikiran pelik.

Rahsia Kejayaan Pengasas Habib Jewel




Bercerita tentang barang kemas, kita khususnya wanita pasti sinonim dengan rantai, cincin, subang, 
gelang dan sebagainya.  Kalau di Malaysia ini siapa yang tidak kenal dengan nama HABIB JEWEL. 
Nama besar dalam industri barangan kemas dan penjualan berlian sebagai perhiasaan diri.

Kita melihat Habib Jewel setanding dengan produk luar negara. Nampak gah, mewah, berkualiti 
dan berprestij. Sebagai syarikat barang kemas berlian pertama di Malaysia yang tersenarai dalam 
bursa saham pastinya Habib Jewel mempunyai reputasi tinggi dikalangan peminat berlian. 
Tapi tahukah anda bagaimana ia bermula?




Bermula dengan nama M.A Habib Mohamed, ia diasaskan pada tahun 1958 oleh Datuk Haji Habib 
Mohamed di Pitt Street, Pulau Pinang. Bermula sebagai satu perniagaan keluarga, Tuan Haji 
Habib Mohamed berjaya memikat hati para pelanggannya dengan sifatnya yang mendahulukan 
kehendak pelanggan. 

Dengan modal sebanyak RM 3,800 beliau mengambil barang kemas daripada kedai pajak dan beliau 
bersihkan ia menjadi cantik lalu dijual kepada kedai emas lain, seperti pemborong. 

Daripada perniagaan yang kecil ia bertambah besar. Pada ketika itu, beliau hanya memikirkan untuk 
membuka perniagaan barang kemas pada harga yang berpatutan sahaja mengikut cara 
perniagaan yang beliau aturkan sendiri rentaknya. 

Lagipun pada masa itu perniagaannya hanya bersifat untuk menyara hidup sahaja. Tidak sangka ia 
bertambah laris.

Beliau tidak mempunyai "role model" untuk dicontohi dalam perniagaan berlian pada ketika itu 
tetapi  tekad beliau ialah menjaga kehendak dan hati pelanggannya yang dianggap sebagai aset 
terpenting dalam perniagaannya.

Dedikasi dan motivasi tinggi dalam dirinya untuk menghasilkan corak dan produk yang berkualiti 
tinggi akhirnya berjaya menambat hati ramai peminat berlian. 

Bermula di Pulau Pinang, pelanggannya sudah melangkaui luar Pulau Pinang dan negeri-negeri di 
pantai timur semenanjung Malaysia. Langit tidak selalu cerah, pada era kejatuhan ekonomi pada 
tahun 1980an, Tuan Haji Habib berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam 
perniagaan.

Membuka cawangan di Semua House di Kuala Lumpur pada tahun 1987. Beliau 
memberanikan diri menghasilkan sendiri produk daripada bahan mentah kepada barangan siap. 

Beliau menghasilkan produk yang diingini wanita seperti bercorak flora dengan hasil yang 
berkualiti.

Beliau tetap percaya bahawa kualiti produk yang baik adalah asas untuk terus bertahan dalam 
perniagaan. Perniagaan Habib Jewel mendapat nafas baru apabila anak Tuan Haji Habib 
Mohamed iaitu Meer Sadik mengambil alih perniagaan ini sebagai "Pengarah Urusan". 

Dengan latar belakang sebagai gemologist daripada Gemological Institute of America dan ijazah 
dalam bidang perniagaan, Meer Sadik telah membawa Habib Jewel ke arena skala perniagaan 
yang lebih besar.


Sebagai contoh, beliau telah membuat kejutan dalam perniagaan berlian secara agresif apabila mengeluarkan iklan penuh warna satu muka dalam akhbar The Straits Times, Singapura 
sehari sebelum Festival Berlian (Jewel Fest) dibuka. 

5 dekad meredah onak dan duri membina nama, jenama Habib Jewel terus unggul dalam 
industri. Datuk Haji Habib Mohamed boleh bernafas dalam selesa dengan 20 cawangan di serata 
negara. 

Cawangan Habib Jewel:

1. Ampang Point

2. Suria KLCC

3. Semua House, Jalan Masjid India

4. Alpha Angle

5. Bangsar Village II

6. The Curve, Petaling Jaya

7. Plaza Shah Alam, Selangor

8. Bangunan satelit, KLIA

9. Alamanda Shopping Centre, Putrajaya

10. Plaza Angsana, Johor Bahru

11. Central Square, Sungai Petani

12. The Spring, Kuching

13. Mydin Mall, Kuala Terengganu

14. Mydin Mall, Pitt Street, Pulau Pinang

15. Gurney Plaza, Pulau Pinang

16. Queensbay Mall, Pulau Pinang

17. 1 Borneo, Kota Kinabalu, Sabah

18. Mydin Mall, Subang Jaya

19. Mydin Mall, Ayer Keroh

20. Suria, Sabah 





Beliau sangat percaya terhadap pelaburan di dalam kegiatan pemasaran dan 
pengiklanan melalui media massa dan sangat agresif memasarkan Habib menerusi radio 
dan televisyen. 

Sejak menerajui perniagaan, anak beliaulah yang menggalakkan pengiklanan yang mana sebelum 
itu memang tidak pernah beliau lakukan. Beliau fikir kombinasi antara didikan moden dan cara 
tradisional membina perniagaan menjadi kombinasi unik dan bermanfaat. 

Begitupun untuk beliau mengekalkan perniagaan ini bukan kerja mudah, sebaliknya berusaha 
menampung kos dengan melakukan pelbagai kerja seperti membuka kedai bunga, 
kedai menjual kekabu bantal serta serbuk kopi. 

Beliau memang berusaha keras dan percaya sesiapa saja atau dalam bidang apa sekalipun anda
ceburi, sekiranya anda berusaha, tentu akan mendapat ganjarannya.


Kerja keras itu melayakkan Habib Jewel menerima beberapa anugerah berprestij seperti 
memenangi Reader’s Digest Trusted Brand Award untuk beberapa tahun.

Anugerah yang pernah Habib menangi antaranya ialah pada 2001 The Malaysian Book of Records 
untuk rekaan Bangunan Berkembar Petronas yang direka dengan berlian, batu permata dan emas 
dengan nilai lebih RM1 juta. 

Pada tahun yang sama juga, Habib menerima Anugerah The ‘Best Retailer in Jewellery and 
Timepieces’ daripada Suria KLCC apabila memperkenalkan koleksi berlian coklat yang dikenali sebagai 
Habib’s Hazel Collection.

Pada 2002, Habib menerajui pasaran antarabangsa menerusi kerjasama dengan jenama 
barangan kemas terkemuka dari Itali Chimento dan juga jenama berlian Hearts On Fire, berlian 
yang mempunyai potongan terbaik dunia. 

Pada tahun itu juga, sekali lagi Habib menerima ‘Best Retailer in Jewellery and Timepieces’ Award 
daripada pengurusan Suria KLCC. 

Rekaan kreatif Habib iaitu rekaan baju dalam wanita yang direka dengan 100 peratus emas, 
dicalonkan dalam 100 pencalonan pertama The Gold Virtuosi Award, yang diiktirafkan oleh badan 
antarabangsa The World Gold Council.

Sekali lagi Habib tersenarai di Malaysian Book of Records untuk rekaan gaun berlian termahal 
dunia bernilai RM19 juta. Gaun eksklusif ini diikat menggunakan 2,500 butir berlian Hearts On Fire.

Habib juga menjadi jenama barangan kemas pertama tersenarai di papan utama Bursa Saham 
Malaysia. 

Pada 2003 dan 2004, Habib menerima sekali lagi ‘Best Retailer in Jewellery and Timepieces’ Award 
daripada pihak pengurusan kompleks Suria KLCC, sementara pada 2005 sehingga 2007 Habib 
mengekalkan prestasinya untuk menerima anugerah ‘Gold Trusted Brand’ untuk kategori jenama 
barangan kemas yang boleh dipercayai daripada Reader’s Digest Trusted Brands Awards. 

Pada 2007, jenama itu memenangi anugerah the Brand Laureatte 2008/2009 di dalam kategori, 
Jenama Barangan Kemas Terbaik dan Penjenamaan Korporat.





Untuk berjaya dalam bidang ini, beliau perlu bekerja keras dan jujur dalam apa yang beliau
lakukan. 

Menarik mengenai Habib yang boleh membezakan dengan jenama lain ialah mereka tidak sekadar 
menjual, sebaliknya memberikan rundingan kepada pelanggan. 

Malah mereka mempunyai pelanggan yang sangat setia kerana yakin dengan produk dan 
kualiti yang ditawarkan sungguh pun kedai barang kemas tumbuh bagai cendawan lepas hujan. 

Kejujuran elemen utama kenapa mereka masih bertahan. Syarikat menjadi peniaga barangan 
kemas pertama di Malaysia tersenarai pada papan kedua Bursa Malaysia (selepas 1998 dikenali 
sebagai Kuala Lumpur Stock Exchange). 

Pada 2002, syarikat induk, Habib Corp Bhd, berpindah ke papan utama. Syarikat kemudian berubah 
kepada penswastaan pada 2005.

Untuk bertahan sejauh ini, mereka juga membabitkan diri dalam pelbagai pameran 
perdagangan termasuk di Timur Tengah dan Eropah.

Semoga kisah ini dapat memberikan inspirasi kepada perniagaan anda semua.

Salam sayang.





Kisah Kejayaan Pengasas Kurma Yusuf Taiyoob





Siapa tak kenal, kurma yang paling popular di Malaysia yang berjenama Yusuf Taiyoob ? Setiap kali bila tiba bulan Ramadhan je, asyik dengar iklan Yusuf Taiyoob di radio dan TV. Kalau akhbar tu  tak payah cakap la, siap full page lagi tu.
Yang menariknya, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus membuatkan ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.



Nama Yusuf Taiyoob sememangnya tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.
Oleh itu, tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Berikut adalah sedikit sebanyak kisah jatuh bangun beliau.
1. Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.
2. Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.
3. Beliau menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu, beliau berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandangnya, tetapi tetap bersyukur kerana mendapat bantuan dan sokongan keluarga.
4. Itu menyedarkan beliau bahawa apabila kita tiada kepentingan atau datang daripada syarikat kecil, orang tidak akan memandang langsung pada kita, malah kita akan ditendang ke sana ke sini.

5. Selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.
6. Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini.
7. Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.
8. Menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka.
9. Kita perlu bersyukur dengan rezeki yang diberikan Allah dan jangan cepat lupa diri.

10. Beliau sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan setiap kali menjelang Ramadan.
11. Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.






12. Teknologi yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik jika berlaku kebocoran.
13. Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan.

14. Syarikat itu, mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi.
15. Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.
16. Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik.
17. Ini menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang.
18. Syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
19. Syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga berpatutan.
20. Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.
21. Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah beliau menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaannya ialah kepuasan pelanggan.
22. Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” kata beliau.

PROFIL
NAMA: Datuk Yusuf Taiyoob
JAWATAN:Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
ASAL: Georgetown, Pulau Pinang
UMUR: 51 tahun
ISTERI: Datin Yusnita Ramli
ANAK: Waseem (9), Safiya (6) dan Safina (3)
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
JENIS PERNIAGAAN: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan

P/S : Rupa-rupanya nama kurma syarikatnya adalah sempena dengan nama anak-anak beliau! 

Kisah Kejayaan Pengasas Kicap Kipas Udang





Saya adalah penggemar kicap. Nasi berlauk saya mesti saya sertakan dengan kicap kegemaran 
saya iaitu kicap apa lagi kalau bukan..cap cap cap...cap kipas udang..hehe..

Bagaimana pula dengan anda? 

Teringat saya iklan kicap tersebut yang melekat disanubari rakyat Malaysia. Siapa yang tidak
tahu jenama unggul kicap dari Malaysia ini?


Tapi tahukah anda siapa pengasasnya?

Pengasas disebalik jenama kicap ini adalah Datuk Hj Lambak Mohamad. 

*  Beliau memulakan perniagaan beliau kira-kira 27 tahun yang lalu apabila menubuhkan Zara 
Food Industries secara kecil-kecilan dengan menyewa sebuah kilang dan memasarkan jenama 
kicapnya disekitar bandar Johor Baharu.

*  Memulakan perniagaan dengan bermodalkan RM40,000.

*  Bagaimanapun selepas 21 tahun, perniagaan yang pada mulanya hanya mencatat jualan 
bulanan sebanyak RM120,000, telah berkembang berlipat ganda dengan jualan bulanannya kini 
mencecah sehingga RM6 juta. 

*  Beliau tidak kedekut untuk melaburkan kembali semua keuntungan syarikat dengan 
mempromosikan jenama Kicap Kipas Udang itu dan melakukan penambahbaikkan dalam kualiti 
produk beliau. 

*  Beliau juga berani mengambil langkah drastik dan besar dalam mempromosikan jenama 
beliau di kaca televisyen. Penambahbaikan juga dapat dilihat dari proses pembungkusan jenama kicap 
tersebut yang terdapat pada penutup botol kicap tersebut yang semakin moden dan selamat.

*  Kini, jualan bulanan kicap kipas udang berjumlah RM6 juta sebulan dan merangkumi kepada 
kepelbagaian produk seperti sos cili, sos tomato, seri kaya dan lain-lain lagi. 

*  Jenama kipas udang ini juga telah melangkau jauh ke negara Asia Barat, Timur Tengah, dan 
negara-negara Asean. 

*  Dengan jualan syarikat mencecah RM82 juta setahun, syarikat ini melangkah setapak 
lagi dengan penubuhan bangunan syarikat yang bernilai RM35 juta di bandar perindustrian Larkin, 
Johor.   


* Permintaan terhadap Kicap Kipas Udang amat menggalakkan sehingga adakalanya mereka 
tidak mampu memenuhi permintaan.

*  Kesungguhan untuk berkembang juga dapat dilihat dengan pelaburan RM10 juta dalam 
meningkatkan teknologi dalam penghasilan barangan pengguna selain makanan. Ini akan 
meliputi barangan pengguna seperti minuman isotonik, bahan pencuci pakaian dan ubat gigi.

Kejayaan Zara Food Industries membuktikan bahawa kaum Bumiputera juga mampu berjaya 
di dalam bidang perniagaan dan bersaing dengan bangsa asing. 

Kita berharap kejayaan syarikat ini dapat dijadikan pendorong oleh Bumiputera yang lain untuk 
terlibat dan menempa kejayaan di dalam perniagaan.

Siapa sangkakan, hanya dengan menjual kicap sahaja syarikat ini sekarang bernilai puluhan juta 
ringgit. Yang penting, selagi ada keperluan dan kehendak, disitu ada peluang.

Semoga kisah ini memberi sedikit inspirasi kepada anda.

Salam sayang.







P/S: Harga sebotol besar kicap kipas udang sekarang hampir cecah RM10.00 tau.



Jutawan Yang Dermawan


“ADAKAH anda gila?”


Itu yang dikatakan oleh akauntan kepada jutawan bernama Brian Burnie apabila majikannya menyatakan hasrat untuk menderma hotel mewahnya bernilai sekitar RM112 juta.




Kemungkinan, ramai akan terus bersangka buruk apabila membaca kisah dan berita dermawan si kaya seperti itu. Tidak dinafikan, ramai juga yang kagum dengan sifat dermawan mereka.

Mari kita cuba cari sebab luaran kedermawanan mereka dalam tulisan ini. Jika dulu, saya sering membaca pengasas Microsoft, Bill Gates, menderma di sana sini di samping yayasan yang ditubuhkannya. Kini, seorang lagi jutawan di Britain melakukan perkara yang sama.


Sumbangan Bill Gates





Pada Jun 2008, Bill Gates yang berumur 52 tahun membuat pengumuman akan meninggalkan sejumlah hartanya yang bernilai lebih RM200 bilion untuk tujuan kebajikan dalam surat wasiatnya.


Wang itu akan diletakkan di dalam Yayasan Bill and Melinda Gates untuk membiayai kajian kesihatan dan perubatan serta pendidikan di seluruh dunia. Yang mengagumkan saya ialah kata-katanya:


“Kami mahu memberi sesuatu kepada masyarakat yang mampu menyumbang kepada kebaikan secara keseluruhan untuk semua. Kami mahu menyumbang kepada dunia.”

Warren Buffet dan dermanya



Pada Jun 2006, saya terkejut membaca berita billionaire bernama Warren Buffet, 75, melakukan derma amal kepada Yayasan Gates untuk tujuan sama. Jumlah yang didermakan bukan kecil tapi lebih RM158 bilion.

Lebih menarik, Buffet mahu setiap sumbangannya yang dibuat secara tahunan itu digunakan pada tahun itu juga dan tidak mahu ditangguh-tangguh.

Pada 14 Mei lalu, saya membaca kisah seorang jutawan Britain mendermakan hotel mewahnya — yang asalnya sebuah rumah besar lama berusia beratus tahun sebelum diubahsuai dengan kos sekitar RM89 juta.

Pada asalnya, dia ingin menggunakan seluruh keuntungan jualan hotel mewah itu untuk tujuan kebajikan, namun ditukar ideanya. Kini, dengan rasminya hotel mewah itu akan dijual dan seluruh hasilnya bakal didermakan kepada persatuan kanser.

Kos jualannya sudah tentu melebihi RM110 juta. Berikut, tiga kata-kata beliau yang menarik hati saya:

“Memiliki harta serta mencari sebanyak mungkin wang adalah penting, tetapi kepentingan kepada masyarakat melebihi segala-galanya. Masyarakat lebih memandang wang sebagai perkara paling utama tetapi bagi saya, ia sebaliknya."

“Saya tidak mahu itu semua dan hanya berharap mahu melakukan lebih banyak perkara yang membawa kebaikan kepada masyarakat."

“Kita boleh mewasiatkan semua harta yang ada kepada badan kebajikan selepas kita mati, tetapi mengapa tidak melakukan sesuatu yang bernilai kepada masyarakat secara keseluruhan ketika kita masih hidup.”

Apa yang disebut pertama tadi bertepatan dengan tanggungjawab sosial dalam Islam. Malah di dalam Islam, pembangunan jati diri individu jauh lebih penting daripada pembangunan material, seperti bangunan pencakar langit dan sebagainya.

Yang kedua pula bertepatan ajaran Islam supaya tidak bersikap pentingkan diri sendiri dan sentiasa memikirkan manfaat yang diperoleh untuk dikongsi dengan orang ramai.

Yang ketiga pula bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Dan janganlah kamu bertangguh-tangguh (dalam bersedekah) sehingga sampainya (nyawamu) di kerongkong (hampir mati).”
(Riwayat Al-Bukhari, no 1353)

Apa lagi motif mereka?

Saya suka memikirkan motif positif dan sihat berbanding agenda terselindung ketiga-tiga individu berkenaan.

Selepas menolak andaian negatif selain membaca dengan lebih lanjut, baru terzahir beberapa sebab rasional. Antara paling utama adalah falsafah mereka dalam membentuk masa depan anak dan ahli keluarga.

Mereka mengambil keputusan menderma kerana tidak mahu meninggalkan harta yang terlalu banyak kepada anak kerana kelak akan membebankan mereka.

Malah, meninggalkan harta melimpah ruah juga dianggap tidak rasional. Falsafah mereka, tinggalkan cukup-cukup saja, namun anak masih perlu terus berusaha.

Buffet pernah berkata di majalah Fortune:

“Memberi anak anda terlalu banyak wang adalah satu beban dan bukan pemberian. Ia bukan perkara yang rasional untuk dilakukan.”

Saya mengira falsafah itu ada benarnya, masakan tidak, si anak pasti tidak akan dapat berkongsi rasa sukar, cabaran dan jerit perih yang dilalui ayahnya.

Malah, si anak akan ditinggalkan lemas dalam kekayaan mega tanpa sebarang usaha, kelak tiada apa lagi yang relevan untuk mereka lakukan, kecuali menghabiskan harta yang terlalu lumayan itu.

Hasilnya, otak mereka pasti menjadi mati dan lebih dahsyat, akan mencatatkan sejarah buruk dalam keluarga kerana terlalu lalai untuk menghabiskan harta, akhirnya menjadi beban dan masalah kepada masyarakat.

Tiada manfaat yang diberinya kepada masyarakat berbanding ayahnya yang bertungkus-lumus mencapai apa yang ada di depan matanya.

Kejayaan ayah mereka dicapai dengan 1,001 macam manfaat dipanjangkan kepada orang ramai, namun si anak akan menghancurkan segala-galanya.

Tujuh tahun lalu, Buffet pernah berkata dalam berita di ABC New ‘Nightline’ bahawa dilahirkan dalam kemewahan tidak melayakkan anaknya untuk menikmati keseluruhan harta.

Tidak dinafikan, ramai memuji tindakan mereka berdua dan tidak kurang juga yang mencela dengan pelbagai anggapan.

Apapun kritikan terhadap hartawan bukan Islam, bagi jutawan Muslim, Islam menganjurkan pendekatan yang sedikit berbeza, banyak pula yang sama. Yang paling berbeza adalah keperluan jutawan Muslim untuk menyembunyikan sumbangan dan sedekahnya.

Allah SWT berfirman: “Dan sekiranya kamu menyembunyikannya (sedekahmu) dan memberikannya kepada fakir miskin, demikian adalah LEBIH baik bagimu.”

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sedekah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemurkaan Allah SWT.”


Salam sayang.






P/S: Jutawan Malaysia Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga seorang yang dermawan melalui penubuhan Yayasan Al-Bukhary.



17 Rahsia Bisnes Pengasas Bihun Sufi

 TIP BISNES TUAN SHAWAL, PENGASAS BIHUN SUFI, Ceo Sufi Brand








TIP 1 : NILAI TAMBAH & SIMPANAN
Perniagaan yang maju diawalnya bukan ukuran kemajuan di akhirnya. Sentiasa bersedia untuk memberikan nilai tambah bagi setiap produk termasuk bersedia dengan tabungan, kerana ia adalah sumber kejayaan.

TIP 2 : YAKIN DENGAN "PELABURAN ILMU"  
Jangan kedekut melabur duit untuk belajar ilmu baru terutamanya ilmu-ilmu yang boleh meningkatkan kerjaya dan bisnes.



TIP 3 : PERCAYA PADA GANJARAN USAHA

Apabila berlaku perkara negatif atau kehilangan sesuatu, yakin dan percaya bahawa Tuhan pasti menggantikan ganjaran yang lebih baik. Dalam setiap kepayahan, pasti ada kesenangan. Belajar untuk melihat hikmah ALLAH di sebalik kejadian adalah ciri-ciri orang berjaya dan berfikir luar biasa.


TIP 4 : DUGAAN ADALAH PENYUCI DOSA
Apabila berlaku perkara negatif, jangan cepat menyalahkan orang lain. Cari kesilapan diri sendiri. Apa yang berlaku adalah dugaan untuk kita mungkin disebabkan dosa-dosa kita dahulu. Mohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan maafkan diri sendiri atas kesilapan yang kita buat.

TIP 5 : PILIH MENTOR YANG BETUL
Untuk berjaya dalam bisnes, wajib berguru dengan mentor yang sudah berjaya dalam bisnes dan pakar di dalam industri. Pilih mentor yang dapat membimbing kita dengan ilmu, sistem dan tindakan yang betul supaya proses kejayaan menjadi lebih pantas.

TIP 6 : "PENARIK REZEKI"
Selain menjaga solat fardhu, solat dhuha adalah kunci kepada pintu rezeki. Setiap kali selepas solat, doa dengan bersungguh-sungguh dan minta dengan Tuhan apa yang kita inginkan dengan spesifik. Fokus di dalam solat dan doa menjadi pembuka rezeki dan memudahkan jalan dalam urusan harian seterusnya setiap matlamat lebih mudah dicapai. Manfaatkan 1/3 malam untuk sujud kepada-Nya memohon keampunan, keredhaan & kerahmataan-Nya untuk diri, keluarga & perniagaan.

TIP 7 : BENCI PADA SIKAP TERHEGEH-HEGEH
Sikap lambat untuk membuat tindakan adalah antara punca kegagalan yang tidak berkesudahan.

TIP 8 : KEKAYAAN DI BAWAH TAPAK KAKI IBU
Hubungan yang baik dengan ibu bapa akan membuatkan proses kejayaan menjadi lebih lancar. Jika hubungan renggang, perbaiki segera hubungan dengan mereka dan sentiasa menggembirakan hati mereka. Ceritakan serba sedikit apa yang kita lakukan dan mohon mereka mendoakannya. Doa ibu mempunyai rahsia tersendiri dan sungguh mustajab.

TIP 9 : BIAR KECIL, ASAL BERHASIL
Bermula sedikit dan kembangkan menjadi besar. Elak bermula besar akhirnya bubar. Jika melibatkan penjualan barang, belajar mengawal stok yang sedikit terlebih dahulu sebelum mengembangkan menjadi besar. Untuk rekod, Bihun Sufi bermula dengan edaran sebanyak 500 peket sahaja.

TIP 10 : TANGGUH KEPUASAN DIRI
Wujudkan satu ‘peti besi’ yang isinya adalah simpanan untuk keinginan kita. Kunci rapat-rapat peti besi tersebut dan disiplinkan diri untuk tidak membukanya. Dikhuatiri apabila kita membukanya di peringkat awal perniagaan, kita akan terdorong membeli simbol-simbol kemewahan di kala perniagaan kita masih belum kukuh tapak dasarnya. Apabila perniagaan sudah betul-betul stabil, buka peti besi tersebut dan penuhi keinginan kita secara cermat dan mengikut pengurusan kewangan yang betul.

TIP 11 : BUKAN SEKADAR JUTAWAN DUNIA
Apabila diberi rezeki oleh Allah, utamakan terlebih dahulu aset-aset untuk kehidupan selepas mati. Setiap sen adalah amanah dari Allah. Buktikan kepada
Pencipta kita merupakan pemegang amanah yang baik, yang sentiasa menyalurkan limpahan rezeki ke arah jalan-Nya.

TIP 12 : GUNA STRATEGI LUAR KOTAK
Kami menggunakan konsep reverse strategy dalam pembekalan Bihun Sufi. Berdasarkan kajian awal, keghairahan meletakkan produk terlalu awal di pasaraya besar adalah satu strategi yang silap. Sasarkan dahulu pasaran peruncitan yang jumlahnya lebih banyak daripada jumlah pasaraya. 2 kelemahan utama pasaran pasaraya untuk bisnes baru bertapak adalah:

1. Bayaran mengikut terma kredit adalah tidak sesuai bagi usahawan yang baru bertapak yang mana memerlukan modal pusingan yang cepat. Bayaran pasaran runcit lebih pantas iaitu pembayaran dilakukan segera setelah stok habis.

2. Persaingan produk bumiputera masih belum setanding dengan produk-produk yang telah lama mencipta nama. Ketidakseragaman dalam usaha meletakkan produk Bumiputera dilandasan yang tepat juga merupakan punca kelemahan pembekalan di pasaraya.

TIP 13 : KAJI PERMINTAAN TERLEBIH DAHULU
Antara rahsia Bihun Sufi berjaya memasarkan sehingga ratusan ribu bungkus setahun adalah dengan mencipta dahulu permintaan. Kami berusaha mencipta permintaan pelanggan dan membuat kejian terperinci tentang pola pembelian dan permintaan dari setiap negeri. Sasaran kami stock satu treler yang memuatkan 50,000 bungkus bihun Sufi harus dijual kurang dari 2 minggu, dan kami lebih gembira jika bekalan tidak mencukupi kerana kami tahu kami harus berusaha lebioh gigih untuk mengeluarkan lebih banyak stok untuk edaran.

TIP 14 : TAMAK BAWAH PADAH
Kami menggunakan sistem tersendiri, iaitu perkongsiaan keuntungan, sebagai contoh apabila kami ditawarkan kontrak pembekalan ke agensi kerajaan, keseluruhan pembekalan tersebut akan dipecahkan kepada Pusat Edaran Negeri. Dengan cara ini, keuntungan dapat diagihkan sama rata untuk seluruh Pusat Edaran. Kami tidak mensasarkan keuntungan yang berlipat kali ganda, sebaliknya peluang kepada ejen-ejen untuk untung lebih tinggi adalah salah satu langkah bagaimana kami mencipta kejayaan tersendiri.

TIP 15 : BERANI KE LUAR NEGARA
Rahsia bagaimana Bihun Sufi berjaya memasuki pasaran 10 buah negara dalam masa 3 tahun adalah berdikari sendiri dalam memperkenalkan produk ke luar negara. Tidak perlu tunggu atau mengharapkan badan-badan lain jika kita mempunyai kreativiti mencari jalan bagaimana untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan menggunakan platfom Internet, dan ia merupakan platform terbaik untuk berhubung dengan dunia luar. Apa yang menarik, margin keuntungan untuk pasaran eksport adalah lebih tinggi daripada pasaran tempatan kerana urusniaganya di dalam nilai USD.

TIP 16 : BUAT PELAN BISNES REALISTIK
Setiap perniagaan tanpa bisnes plan adalah ibarat menaiki perahu tanpa pendayung. Bisnes plan adalah sesuatu yang harus dicapai dan bukannya mengharapkan keajaiban. Apabila kami menetapkan sasaran jualan sebanyak RM 5 juta pada tahun 2012, kita perlu jelas dengan jumlah sasaran jualan yang perlu dilakukan oleh syarikat. 

Jumlah ini akan disaring agar lebih mudah untuk dicapai. Caranya, pecahkan sasaran jualan kepada jumlah edaran Pusat Edaran Negeri untuk tempoh 1 tahun yang dipecahkan kepada 12 bulan, kemudian dipecahkan lagi kepada jumlah jualan per/hari dan dipecahkan pula kepada jumlah per/jam. Perincian ini membolehkan kita membuat ukuran jumlah yang harus dijual untuk mencapai jumlah sasaran.

TIP 17 : BERPEGANG PADA PRINSIP
Apabila menetapkan matlamat mahu berjaya di dalam perniagaan ini, tetapkan
pendirian dan jangan mudah terpengaruh dengan peluang bisnes lain walaupun ditawarkan pulangan lumayan. Salah satu kesilapan usahawan yang baru mengecapi kejayaan adalah mudah teruja dengan peluang-peluang bisnes lain menyebabkan melabur di luar kemampuan syarikat.





P/S: Encik Shawal merupakan salah seorang anak didik Dr.Azizan Osman yang sangat saya kagumi. Dengan hanya RM10.00 didalam poket semasa beliau mula menyertai program keusahawanan kendalian Dr.Azizan dan kini beliau mampu mendirikan kilang memproses bihun bernilai RM12 juta!! Syabas! 

Semoga tips-tips diatas dapat memberikan manfaat kepada anda semua.

Salam sayang.






Untuk pembelian secara online anda boleh layari http://www.sufimart.my/








Busuk!