Assalamualaikum & salam sejahtera..
Hari ini saya ingin kongsikan sesuatu yang saya rasa penting dalam hidup kita semua iaitu TIDUR.
Jika diimbas semula pada bulan Oktober 2009, dunia khususnya di India dikejutkan dengan berita seorang ahli perniagaan terkemuka COO (Chief Operating Officer) di India, Ranjan Das, meninggal dunia dalam usia yang masih muda iaitu 42 tahun. Soal meninggal dunia, mungkin itu sudah biasa bagi kita dan mungkin sahaja memang sudah ditakdirkan. Tetapi apa yang menariknya disini, penyelidikan menunjukkan bahawa punca kematian Ranjan Das ada hubung kaitnya dengan soal tidur.
Bahkan, dalam program TV beliau sendiri iaitu “Boss Day’s Out” yang masih boleh diakses sehingga kini, Ranjan Das ada menceritakan perihal dirinya yang selalu kurang tidur. Rata-rata, beliau hanya tidur sekitar 4 hingga 5 jam sehari !
Mari kita semak kepentingan TIDUR.
Pertama dari segi kesihatan.
Beberapa data yang diambil ini adalah dari pakar ahli kardiologi di Singapura.
Ternyata, kurangnya tidur iaitu 5 jam atau kurang menyebabkan peningkatan tekanan darah hingga 350% atau 500% berbanding dengan mereka yang tidurnya 6 jam setiap malam. Padahal seperti yang diketahui, tekanan darah yang tinggi boleh membunuh anda!
Penelitian & kajian yang lebih lanjut juga membuktikan bahawa orang muda (25-49 tahun) yang kurang tidur, berpeluang terkena serangan jantung. Kesan lainnya juga menunjukkan bahawa mereka yang tidurnya kurang dari 5 jam, berpeluang terkena serangan jantung adalah tiga kali lebih besar!
Kekurangan tidur untuk satu malam sahaja boleh menyebabkan beberapa zat beracun dalam tubuh kita meningkat drastik seperti Interleukin-6 (IL-6), Tumour Necrosis Factor-Alpha (TNF-alpha) dan C-reactive protein (cRP). Sedangkan kelebihan zat inilah boleh menjadi antara penyebab utama kanser serta penyakit jantung.
Bagi yang sering kekurangan waktu tidur juga akan menyebabkan mereka mengalami sakit kepala yang kronik.
Kedua dari segi emosi.
Pada bulan Oktober 2007, Live Science telah menerbitkan hasil kajian yang dilakukan oleh Matthew Walker, seorang neurosaintis dari University of California di Berkeley yang menghubungkaitkan tidur dengan emosi. Apa yang dilakukan?
Beliau membahagikan dua kelompok orang, seorang dengan tidurnya yang cukup dan seorang lagi dengan tidurnya yang sengaja diganggu. Lantas mereka menunjukkan pada kedua kelompok ini beberapa puluh gambar. Mulai dengan gambar biasa sehingga gambar yang boleh memancing emosi . Sementara itu, reaksi emosi mereka diimbas pula dengan menggunakan functional magnetic resonance imaging (fMRI).
Hasilnya cukup menarik. 60% dari mereka yang kurang tidur, reaksi emosinya menjadi tidak stabil dan tidak terkawal. Selain itu, bahagian otak yang berurusan dengan emosi juga tidak berfungsi dengan baik. Secara umumnya, kajian pakar menunjukkan bahawa mereka yang kurang tidur ini lebih cenderung kepada gangguan emosi yang membuatkan mereka kurang rasa gembira, selalu mengalami tekanan perasaan dan kerap stress semasa waktu bekerja.
Pernahkah anda semua mengalami situasi yang saya nyatakan tadi?
Jika pernah, saya nasihatkan tidurlah dengan cukup. Tidur yang cukup bererti 6 jam atau lebih.
Untuk mengetahui adakah anda tidur dengan cukup atau tidak, salah satu cara yang boleh kita buat adalah dengan menggunakan Epworth Sleepiness Scale.
Ada 8 pertanyaan yang penting. Cuba anda perhatikan. Adakah anda mudah tertidur dan mengantuk dalam 8 situasi ini:
(1) Sewaktu duduk dan membaca.
(2) Sewaktu menonton TV.
(3) Sewaktu berada ditempat awam, contohnya ketika berada didalam panggung wayang.
(4) Sewaktu duduk menunggu seseorang didalam kereta atau berhenti dilampu isyarat.
(5) Sewaktu duduk santai di petang hari.
(6) Sewaktu duduk dan berbicara dengan seseorang.
(7) Sewaktu duduk tenang bersendirian setelah makan tengahari.
(8) Sewaktu sedang menunggu sesuatu misalnya ketika berada dibank, di pejabat pos dan sebagainya.
Sekiranya anda menjawab Ya bagi sekurang-kurangnya tiga soalan diatas, maka menurut skala ini, sudah tiba masanya anda harus membetulkan kembali waktu tidur anda.
Mulai sekarang, janganlah menjadi orang yang bekerja tanpa tidur ataupun tanpa istirehat yang cukup. Hasil kajian di atas telah menunjukkan bahawa hal tersebut bukan sahaja memberi kesan buruk kepada fizikal anda tetapi juga pada kecerdasan emosi dan minda anda.
Tidak hairanlah, jika di dunia barat ada istilah bahawa ketika seseorang itu marah-marah, maka dia dikatakan “tidur di sisi yang salah” (sleeping on the wrong side). Jadi, pengaruh tidur sangat berkait rapat dengan kualiti emosi seseorang.
Cukupkah waktu tidur anda selama ini? Hanya anda sahaja yang tahu.