Bersyukurlah!

Assalamualaikum..

Kita sering mengeluh kekurangan material terutama wang ringgit tanpa kita sedar kita sudah diberi rezeki dan kelebihan yang jauh lebih banyak dari orang lain. Insaf dan bersyukurlah kerana kita masih jauh lebih baik dan maju dari orang lain. Sedikit kekurangan tidak dapat dibanding dengan lebih ramai lagi yang mengurus dirinya pun tidak mampu.

Foto dibawah ini adalah contoh kecekalan hati dan jiwa seorang pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang tidak cukup sifat fizikal dengan kecacatan tangan dan kaki yang kurang berfungsi. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dia hanya boleh menulis jika berbaring dengan jarinya yang berada di tangannya yang lebih pendek. 

Maka sehingga meja khas yang ditempah pihak Pengurusan kolej tiba. Dia terpaksalah dibaringkan di atas meja setiap kali mengikuti kuliah. Syukurlah ada kawan-kawan yang sentiasa sudi membantu. Pensyarah-pensyarah juga turut memberi bantuan material dan tenaga untuk menjaganya. 

syuhada1981.com

Agak sayu juga melihatnya di dalam kelas dalam keadaan begini apalagi memikirkan urusan peribadi dan kebersihan dirinya juga terpaksa dibantu kawan-kawannya yang berhati mulia kerana dia tidak dapat melakukan urusan berkenaan sendiri termasuk disuapkan makanan, dimandikan dan sebagainya. Namun demikian semangatnya tetap waja untuk belajar. Pelik dibandingkan beberapa pelajar lain yang cukup sifat fizikal tetapi liat untuk mengikuti kuliah dan tutorial.

Pelajar yang berasal dari Sandakan ini bukan dari keluarga senang. Ibunya surirumah dan bapanya pekerja biasa di Lembaga Pelabuhan. Agak sukar membayangkan bagaimana dia akan menghadapi cabaran-cabaran yang lebih besar di masa akan datang. 

Apabila ditanya apa yang dia mahu untuk hari raya. Dia hanya menjawab cuma mahu ibubapanya bahagia dan dia dapat hidup untuk membantu keluarganya dengan menamatkan pengajian di Universiti nanti. Mulia sungguh hati anak ini. Sayangnya cabaran menanti terlalu besar untuk ditanggung. 

Jika pelajar Sarawak yang layak boleh menerima bantuan dermasiswa khas dari Yayasan Sarawak dalam lingkungan RM1500 satu semester. Malang sedikit Yayasan Sabah tidak ada bantuan kepada pelajar-pelajar dari negeri berkenaan pula. Jika ada bantuan untuk pelajar-pelajar susah sebagai tambahan kepada elaun yang diberikan Kerajaan Malaysia kepada kumpulan dari keluarga daif dan yang cacat fizikal setidak-tidaknya boleh mengurangkan beban kerana pelajar-pelajar OKU juga banyak keperluan tambahan khususnya untuk keperluan peribadi. 

Di bulan mulia ini, jika kita ambil iktibar dari apa yang dilihat dan berlaku di sekeliling kita pasti banyak yang boleh dipelajari untuk mengingatkan kita rasa bersyukur kepada Allah kerana setidaknya kita masih mempunyai hidup yang lebih baik. 

Moga dengan melihat orang-orang yang kurang upaya ini dapat membuka pintu kesedaran dan keluhuran jiwa untuk berkongsi simpati kepada golongan ini. Moga keikhlasan kita membantu golongan susah terbalas dengan rezeki yang melimpah ruah. Sesuatu yang dilakukan dengan ikhlas akan datang semula kepada kita kadangkala dengan cara yang tidak kita duga. 


Kredit Post: Ahzan bin Bakrin

Busuk!