Motivasi bermakna dorongan. Dorongan untuk sesuatu perkara yang ingin dilakukan. Sama ada kepada perkara yang baik ataupun buruk. Semuanya bermula dengan sebuah motivasi.
Motivasi seperti yang telah saya katakan adalah sebuah dorongan. Dorongan itu sama ada daripada faktor dalam diri atau faktor/pengaruh luaran yang memberikan kesan kepada keputusan dan tindakan diri untuk bertindak.
Untuk mencapai sesuatu tetapan matlamat, kita perlukan motivasi sebagai pendorong. Sebagai seorang manusia biasa, saya pasti akan ada sesuatu objektif atau impian yang ingin dicapai. Justeru, untuk bergerak dan membuat keputusan untuk mencapainya adalah sebuah motivasi.
Kenapa kita perlukan sebuah motivasi diri yang tinggi dalam hidup?
Ia berkaitan rapat dengan sikap dan perasaan seorang manusia. Jika motivasi adalah sebuah dorongan yang membantu seseorang untuk bermula, halangan akan menjadi rintangan yang akan melemahkan semangat diri seseorang.
Bayangkan jika objektif atau sebuah matlamat tidak tercapai, saya pasti ini antara perkara biasa yang bakal berlaku ;
Hilang semangat dalam diri dan terasa segala cara yang diambil seperti sia-sia.
Hilang fokus kepada matlamat yang telah ditetapkan.
Perbalahan antara rakan kumpulan kerana cuba mencari punca masalah.
Namun, memang masih banyak masalah yang bakal dibawa oleh kehilangan semangat atau motivasi dalam diri. Bukan hanya kepada diri sendiri, tapi ia membawa masalah kepada organisasi.
Jika ditugaskan untuk membuat sesuatu perkara yang besar namun tidak tahu apa-apa mengenainya. Saya cukup pasti kita akan sedikit rasa terganggu dengan tugas tersebut. Namun, disitulah bermulanya peranan sebuah motivasi yang dikatakan sebagai dorongan.
Dengan dorongan, kita terasa punya satu tenaga untuk menyelesaikan tugas yang diberikan serta sedia untuk mengatasi masalah yang bakal dihadapi. Bersedia untuk mempelajari perkara baru, bersedia untuk menghadapi bentuk masalah baru dan bersedia untuk memberikan langkah penyelesaian bagi membuka jalan untuk menyelesaikan tugasan yang telah diberikan.
Itu satu contoh dimana kekuatan motivasi dalam diri membantu untuk terus ke hadapan.
Sebab kenapa kita perlu sentiasa bermotivasi kerana kita akan sentiasa menerima apa sahaja yang tidak dijangka. Untuk mencapai matlamat, bukan boleh dicapai dalam sekelip mata.
Keperluan tenaga dan masa akan memberikan tekanan kepada diri. Sekaligus mengoyahkan impian atau harapan untuk mencapainya. Tekanan ini jika tidak diimbangi atau diatasi, membawa masalah kepada empunya diri. Apatah lagi bila bertemu dengan kegagalan, pasti tekanan semakin besar. Itulah sebab kenapa motivasi atau dorongan sangat penting untuk memberikan sokongan kepada diri.
Inilah antara sebab utama kenapa kita perlukan motivasi. Ia adalah sebuah sumber tenaga mental atau dalam yang akan menggerakkan fizikal seorang manusia untuk bergerak menjalankan sesuatu dan mencapainya.
Tanpa motivasi yang baik, walaupun dengan matlamat yang betul dan persediaan yang cukup ia akan memberi kesan tidak baik kerana tiada ketahanan kepada rintangan-rintangan akan sentiasa cuba untuk merebahkan.
Motivasi itu penting. Sentiasalah mencari motivasi anda untuk mencapai cita-cita yang anda impikan.
Salam kasih sayang,